Kemerosotan dan Kejatuhan Kwame_Nkrumah

Dewan Nkrumah di Universiti Dar es Salaam yang terletak di Dar es Salaam, Tanzania.

Tahun 1954 merupakan tahun yang penting dalam kehidupan Kwame Nkrumah. Pada tahun itu, beliau memenangi Pilihan Raya Kemerdekaan dengan memperoleh 80% undi yang benar-benar menghairankan (tetapi agak sah). Bagaimanapun, tahun yang sama itu juga melihat penyemaian bibit-bibit yang akhirnya mengakibatkan keruntuhan politiknya. Pada tahun 1954, harga dunia koko naik dari £150 hingga £450 bagi setiap tan. Nkrumah tidak membenarkan petani-petani koko mendapat durian runtuh itu tetapi sebaliknya, memindahkan untung tambahan itu untuk membangun negara. Dasar baru ini mengakibatkannya tidak disukai lagi oleh salah satu daripada kawasan pilihan raya utama yang membantunya bangkit untuk berkuasa.

Tahun 1958 melihat pengenalan dua undang-undang yang menyekat kebebasan orang-orang Ghana. Ekoran daripada Mogok Pelombong Emas 1955, Nkrumah memperkenalkan Akta Kesatuan Sekerja yang menyebabkan mogok menjadi kegiatan yang menyalahi undang-undang. Sebagai reaksi terhadap komplot yang disyaki dibuat oleh seorang pembangkang ahli Parlimen, Akta Tahanan Cegahan membolehkan penangkapan dan penahanan sesiapa yang dituduh kerana menderhaka tanpa sebarang perbicaraan oleh mahkamah.

Apabila pekerja-pekerja kereta api mogok pada tahun 1961, Nkrumah mengarahkan bahawa para pemimpin mogok dan pembangkang politik ditangkap di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1958. Walaupun Nkrumah sendiri pernah mengurus mogok-mogok beberapa tahun dahulu, mogok tidak lagi mempunyai peranan dalam rancangannya untuk menghasilkan pembangunan perindustrian yang pesat. Beliau memberitahu kesatuan-kesatuan itu bahawa zaman mereka sebagai penyokong keselamatan dan upah yang adil untuk pelombong-pelombong sudah lepas. Tugas baru mereka adalah untuk bekerjasama dengan pihak pengurusan dalam memobilisasi tenaga kerja. Gaji insentif harus memberi tempat kepada kewajipan setia negara. Pada matanya, kebaikan negara pada keseluruhannya adalah lebih penting daripada kebaikan pekerja-pekerja perseorangan.

Akta Tahanan Cegahan mengakibatkan perasaan tidak puas hati yang meluas terhadap pentadbiran Nkrumah. Sesetengah orangnya mempergunakan undang-undang itu untuk menangkap orang-orang yang tidak bersalah supaya dapat memperoleh jawatan politik serta harta perniagaan mereka. Penasihat-penasihat yang rapat dengan Nkrumah enggan membincangkan keadaan yang sebenar di Ghana kerana takut dianggap sebagai terlalu kritis. Apabila klinik-klinik negara kehabisan ubat, tiada sesiapa yang memberitahunya. Sesetengah orang mempercayai bahawa Nkrumah tidak peduli lagi, penasihat-penasihatnya takut, dan pihak polis berasa geram tentang peranan mereka dalam masyarakat. Di samping itu, ketakutan pembunuhan yang agak berjustifikasi juga bermakna bahawa Nkrumah semakin susah dihubungi. Pada tahun 1964, Ghana diisytiharkan sebagai sebuah negara satu parti, dengan Nkrumah sebagai Presiden Seumur Hidup.

Komitmennya kepada pembangunan perindustrian dengan apa cara sekalipun menyebabkan Nkrumah membina sebuah loji kuasa hidroelektrik di Sungai Volta. Perbadanan-perbadanan Amerika membina empangan untuk Nkrumah, tetapi mereka mengenakan banyak sekatan tentang kegunaan kuasa elektrik itu. Urus janji itu tidak baik, tetapi Nkrumah tidak menarik diri. Beliau menggunakan wang pinjaman untuk membina empangan itu dan mengakibatkan Ghana berhutang teruk. Menjelaskan hutang itu untuk membina empangan di utara memerlukan cukai yang lebih tinggi daripada petani-petani koko di selatan dan menonjolkan lagi perbezaan dan rasa cemburu kawasan. Projek empangan itu disiapkan dan dibuka secara rasmi oleh Nkrumah di tengah-tengah publisiti dunia pada 22 Januari 1966. Empangan itu terus menjanakan kuasa elektrik untuk Ghana dan negara-negara berjiran, dan Nkrumah kelihatan pada kemuncak kuasa tetapi sebenarnya, akan tetapi keakhiran rejimnya terjadi hanya beberapa hari lagi.

Nkrumah hendak Ghana memiliki sebuah angkatan tentera yang moden. Beliau memperoleh pesawat dan kapal perang serta memperkenalkan pengerahan. Nkrumah juga memberi bantuan ketenteraan kepada mereka yang bertempur dengan kerjaan minoriti orang putih di Rhodesia Selatan Zimbabwe). Pada Februari 1966, semasa Nkrumah membuat lawatan rasmi ke Beijing, China, kerajaannya digulingkan oleh sebuah rampasan kuasa.